Monday, June 21, 2010

KEMBARA SASTERA PERWILA W.P LABUAN KE BRUNEI, SARAWAK DAN SABAH 10-13 JUN 2010

11 Jun 2010: Pagi-pagi lagi rombongan kami meninggalkan Hotel Purnama, Limbang menuju ke Temburong. Di Stesen Imigresen Temburong kami disambut oleh Dayang Hjh Siti (Amirah) dan Coaster kami mengikut di belakang kereta sport Hjh. menuju ke Pejabat Daerah Temburong lama yang sekarang dijadikan Galeri Warisan. Di Galeri kami disambut oleh pegawai-pegawai Pejabat Daerah Temburong, dan dibawa melawat dalam galeri yang menempatkan peralatan tradisi pelbagai masyarakat suku kaum Temburong terdiri daripada gambar pemimpin-pemimpin kaum, peralatan perkahwinan, alat-alat menangkap ikan, tanaman dan pelbagai barangan tradisi yang begitu menarik. Kami difahamkan barang-barang tradisi dan gambar-gambar disumbangkan percuma oleh semua suku kaum di daerah ini. Stesen Radio Televisyen Brunei (TVB) menemu ramah ketua 2 Sahar Misron dan ahli rombongan yang lain, semasa di Lawas sebelah malam aku dimaklumkan anak bongsuku gambarku di TV Brunei sedang ditemu ramah dan semasa majlis bersama DBP Brunei, dengan gelaran Awang Sahar....lucu kata anakku, "abah dapat gelaran daripada siapa tu?" katanya...

Selepas melawat Galeri Warisan penuh maklumat itu kami dibawa ke Bangunan Perniagaan Bumiputera di seberang jalan untuk Majlis Bedudun di sana bersama para penulis dan karyawan Brunei dengan Tetamu Kehormat YM Hjh Aminah bt Momin, Pemangku Pengarah DBP Brunei DS, berucap menyampaikan tentang perkembangan bahasa, sastera dan budaya khususnya di Daerah Temburong, aku berucap mewakili rakan PERWILA juga selaku Ketua Rombongan. Persembahan kebudayaan masyarakat Murut, bacaan Sajak, Syair dan sembang santai daripada karyawan Brunei. Kami juga membuat persembahan balas dengan bacaan puisi. Upacara diteruskan dengan pertukaran cenderakenangan, kami menerima beberapa buah buku terbitan DBP yang sarat dengan maklumat bahasa dan kesusasteraan serta kesenian bangsa Melayu.

No comments: