Tuesday, November 2, 2010

PROMOSI SKPM DRAF AKHIR

Pagi ini sampai jam 430 petang kami didedahkan dengan Prmosi SKPM JNJK oleh penceramah JNJK Pahang (Ketua Nazir) Tn Hj Mohd Noor Mahmud, Sdr Mutusamy, dan Sdr Selvarajo JNJK Putrajaya. Terima kasih menyampaikan maklumat berguna sebelum pelaksanaan penuh tahun hadapan?....Kami dari SEMELA agak santai menerima maklumat kerana kami telah didedahkan semasa program rintis dulu....Swelepas ini tunggu surat pekeliling pelaksanaannya, tapi mulai hari ini sudah boleh mula buat persiapanterutama memberi kefahaman kepada barisan GKMP, KP dan KU unit-unit yang perlu untuk pengumulan data 2010....Bersedialah wahai rakan SEMELA, jangan buat-buat terkejut pula....

Monday, November 1, 2010

Panggilan Telefon pagi

Pagi-pagi terima panggilan telefon Pemangku Pengarah Pelajaran Labuan, En Ismail Abdullah, berdebar juga bila beliau kata emergency....Rupanya seorang pegawai Jabatan Pelajaran En. Mohd Nor kemalangan di depan Petronas (yang mana pun tak pasti), isteri pegawai ini bertugas di SMK Lajau, Pn Siti Zubaidah Salleh. Semasa menjawab panggilan PK Pentadbiran dan seorang guru berada di depanku, dalam jam 645 pagi. Aku terus ke kereta, semasa itu Pn Siti sedang memberi arahan pagi kepada murid-murid, dan bersedia menyanyikan Lagu Negaraku, aku beri isyarat tunggu dulu, kerana kalau nyanyi dah tentu kena tunggu dua minit lagi. Aku perlu segera ke tempat kejadian. Dengan kelajuan terkawal, aku terus menuju lokasi, syukurlah lorong kecemasan kosong, aku menyalakan lampu kecemasan dan dapat sampai dalam masa kurang lima minit di seberang jalan Petronas Jalan Pulau Buah. Sudah ada seorang Anggota Polis dan penarik kereta, kulihat keretanya (Hilux) remuk agak teruk di bahagian hadapan, tayarnya hampir tercabut, mujurlah sebatang paip besar menghadang Pacuan 4 Roda, aku lihat airbag terkeluar, tiada pemandunya, aku dimaklumkan pemandunya telah dihantar ke hospital, tiada kesan darah di tempat duduk pemandu. Seorang yag berpakaian seragam KTAK memperkenalkan diri sebagai saudara En Ismail (Beliau menelefon En Ismail) Aku terus menghubungi Puan Siti Zubaidah, tidak diangkat....aku hubungi Pn Dona pun tidak berjawab, mungkin ada kelas, aku hubungi Pn Ang...katanya Cg Siti telah ke hospital dengan Pn Nurfiah dan Pn Jubia. Aku hubungi En Ismail beliau sudah di hospital...Aku mengambil beg hitam dan mengambil dokumen-dokumen dari Hilux. Aku terus uruskan untuk kenderaan ditarik selepas Sarjan Amir selesai mengukur dan mengambil gambar lokasi, kenderaan perlu ditarik kerana melintang di sebelah jalan....Aku mengambil butiran pemandu kereta tarik dan juga seorang lelaki yang menjadi saksi utama kemalangan, En Harry yang mengatakan bahawa semasa kemalangan pemandu tidak sedar, hinggalah sampai di hospital...Syukurlah tada kecederaan walaupun kenderaan agak teruk di bahagian hadapan, airbag dengan izin Allah menjadi penyelamat, juga paip air besar di tepi jalan sebagai penahan. Aku ditemani Pengetua SMK Pantai En Yusup yang sempat kutelefon dan En Erwin (bekas stafku) yang kini di JPN Labuan yang kebetulan lalu di temat kejadian.

Aku dan En Yusup ke hospital melihat keadaan En Mohd Nor, keadaannya agak lemah dan mungkin dalam keadaan masih terkejut, aku serahkan barangan kepada isterinya Cg Siti Zubaidah. Syukurlah En Mohd Nor selamat hanya calar sedikit di siku kanannya...

Panggilan pagi kadangkala amat memeranjatkan kita tetapi kita kena tenang menghadapi sebarang kemungkinan....

Tuesday, October 26, 2010

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN ANAK-ANAKKU

Selamat menduduki Peperiksaan kepada anak kami Nabihah di UITM Kota Samarahan dan Nadiah di SM Teknik Labuan serta Naqibah di SK Kerupang, Labuan dan di SK Agama Pekan Labuan, semoga kalian berjaya dengan cemerlang. Jawab dengan yakin dan tenang, InsyaAllah abah, mak dan adik/abang doakan kejayaan terbaik untuk kalian bertiga.Semoga keluarga kita terus bahagia walaupun berjauhan di sana sini......

Saturday, October 23, 2010

LAGI GAMBAR 2010





GAMBAR 2010





SUDAH HAMPIR KE PENGHUJUNG TAHUN ....

lama tidak mencatat dalam Blogspot, ini gara-gara adanya FB....Bagusnya Blogspot boleh catat sepanjang mana pun kita suka, cuma yang agak leceh bila nak upload gambar kadangkala sukar sikit. Sekarang dah akhir Oktober 2010. Kepada rakan blogger teruskan berblogging, masih ramai yang mencatat di blog..Teruskan kawan-kawan. Akhir tahun ni pastinya sebagai pengetua sibuk dengan pelbagai tugas, persiapan akhir tahun, persiapan awal tahun depan dengan pelbagai aktiviti....Sudah tugas teruskan sahaja hingga hari akhir bekerja.

Kepada pelajar-pelajar SMK Lajau, teruskan menuntut ilmu dengan restu ibu bapa dan guru penuh keikhlasan. Kepada rakan guru SEMELA teruskan usaha mendidik dan mengajar anak-anak didik tanpa jemu, tanpa rungutan, tanpa alasan, juga dengan keikhlasan tinggi, moga usaha kita diberkati-Nya, mudah-mudahan.

Kepada rakan Persatuan Penulis W.P Labuan (PERWILA), teruskan menulis apa sahaja isu yang membangkitkan nilai budi kemanusiaan demi keunggulan bahasa dan sastera kita. Mari kita hasilkan novel yang membentuk pemikiran positif warga Labuan khususnya dan Malaysia umumnya. Kepada rakan pembimbing Sdr Resmanshah terima kasih kerana membangkitkan semangat kepada kami untuk terus menulis.

Kepada seluruh keluarga terima kasih kerana memahami kesibukanku dengan hati terbuka, InsyaAllah dalam kesempatan bercuti awal November kita berkumpul dalam keluarga harmoni walaupun pada waktu ini jarak jauh memisahkan sementara, namun FB dan blog, telefon mendekatkan kita.

Thursday, September 2, 2010

RAYA SEMAKIN HAMPIR

Minggu depan umat Islam seluruh negara akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Kepada semua selamat menyambutnya. Kepada anak-anak didikku yang akan menghadapi PMR, SPM dan STPM 2010 raya tu jangan beraya sakan, persiapan menghadapi peperiksaan yang penting dalam perjalanan hidup kalian memerlukan pengorbanan. Mohonlah restu ibu bapa/penjaga, guru-guru sebelum menghadapi peperiksaan. Kami sentiasa mendoakan kejayaan kalian. Jangan lupa mengerjakan solat wajib dan buatlah kebaikan walaupun sekecil zarah pun, InsyaAllah kalian akan berjaya. Kepada Puan Hjh Jubia di Kota Suci Mekah, usah lupa berdoa kejayaan anak-anak SMK Lajau dan seluruh warga sekolah

Monday, August 2, 2010

DERMA DARAH DI UK

Pagi tadi derma darah di UK untuk kali ketiga tahun ini.kali ini JUPEM Labuan anjur....minggu depan ada lagi derma darah tapi kena tunggu tiga bulan lagilah......Dulu takut juga nak derma darah, ada orang kata badan jadi gemuk dan macam-macam lagi, sebenarnya tiada kesan apa-apa pun, marilah menderma.....

NOOR FUZIAH DAN AG SHAHFEZAN MENANG EMAS, PERAK DAN GANGSA DI TAIWAN

Petang semalam 31 julai, BERAMAI-RAMAI menyambut kepulangan dari TAIWAN tenpin Boling hero dan heroin PPKI SMK Lajau dan Mutiara serta PDK di Terminal Feri Labuan bersama-sama Pengarah, pengetua SMK Mutiara serta guru-guru PPKI, juga ibu bapa dan pelajar PPKI. Mereka hebat menggondol 5 EMAS, 3 PERAK dan 5 GANGSA..Tahniah dan T.kasih

Monday, June 21, 2010

KEMBARA SASTERA PERWILA W.P LABUAN KE BRUNEI, SARAWAK DAN SABAH 10-13 JUN 2010

11 Jun 2010: Pagi-pagi lagi rombongan kami meninggalkan Hotel Purnama, Limbang menuju ke Temburong. Di Stesen Imigresen Temburong kami disambut oleh Dayang Hjh Siti (Amirah) dan Coaster kami mengikut di belakang kereta sport Hjh. menuju ke Pejabat Daerah Temburong lama yang sekarang dijadikan Galeri Warisan. Di Galeri kami disambut oleh pegawai-pegawai Pejabat Daerah Temburong, dan dibawa melawat dalam galeri yang menempatkan peralatan tradisi pelbagai masyarakat suku kaum Temburong terdiri daripada gambar pemimpin-pemimpin kaum, peralatan perkahwinan, alat-alat menangkap ikan, tanaman dan pelbagai barangan tradisi yang begitu menarik. Kami difahamkan barang-barang tradisi dan gambar-gambar disumbangkan percuma oleh semua suku kaum di daerah ini. Stesen Radio Televisyen Brunei (TVB) menemu ramah ketua 2 Sahar Misron dan ahli rombongan yang lain, semasa di Lawas sebelah malam aku dimaklumkan anak bongsuku gambarku di TV Brunei sedang ditemu ramah dan semasa majlis bersama DBP Brunei, dengan gelaran Awang Sahar....lucu kata anakku, "abah dapat gelaran daripada siapa tu?" katanya...

Selepas melawat Galeri Warisan penuh maklumat itu kami dibawa ke Bangunan Perniagaan Bumiputera di seberang jalan untuk Majlis Bedudun di sana bersama para penulis dan karyawan Brunei dengan Tetamu Kehormat YM Hjh Aminah bt Momin, Pemangku Pengarah DBP Brunei DS, berucap menyampaikan tentang perkembangan bahasa, sastera dan budaya khususnya di Daerah Temburong, aku berucap mewakili rakan PERWILA juga selaku Ketua Rombongan. Persembahan kebudayaan masyarakat Murut, bacaan Sajak, Syair dan sembang santai daripada karyawan Brunei. Kami juga membuat persembahan balas dengan bacaan puisi. Upacara diteruskan dengan pertukaran cenderakenangan, kami menerima beberapa buah buku terbitan DBP yang sarat dengan maklumat bahasa dan kesusasteraan serta kesenian bangsa Melayu.

KEMBARA SASTERA PERWILA W.P LABUAN KE BRUNEI, SARAWAK DAN SABAH 10-13 JUN 2010

Kembara Sastera Persatuan Penulis W.P Labuan (PERWILA) seramai 15 orang dengan diketuai Ketua 2 Sahar Misron bertolak awal pagi dengan Feri Wawasan Perdana dari Terminal Feri Menumbok. dari Menumbok meneruskan perjalanan ke Limbang menerusi Beaufort, Sipitang dan Lawas. Kami makan tengah hari di Lawas, di sebuah gerai di tepi sungai. Perjalanan diteruskan ke limbang menerusi Temburong. Perjalanan yang agak meletihkan melalui jalan yang agak baik keadaannya walaupun nampak perbezaannya apabila melalui jalan raya di Negara Brunei DS, yang mana jalannya begitu baik dari segi kualiti binaannya yang menimbulkan cemburu kami warga Malaysia. Perjalanan tambah memenatkan apabila terpaksa merentasi dua batang Sungai di Stesen Terusan dan Stesen Puni, yang mana kami terpaksa menunggu agak lama menunggu giliran menyeberang dua batang yang nampak seberangnya, kalau dibaling batu pun sampai ke sebelah sana. Rupanya kami mendapat tahu di Brunei pun cuti sekolah, kenderaan agak panjang berbaris, ada sebuah dua kenderaan yang memotong barisan menimbulkan keresahan ahli rombongan, EQ kena kuat sebenarnya menghadapi pelbagai kerenah manusia.

Kami sampai di Limbang jam hampir 6.00 petang. Malamnya kami diraikan di Restoran Mutiara, Kampung Buang Siol oleh wakil YB Wakil rakyat, yang hadir ialah Tuan Haji Mohammad Abu Bakar, ketua-ketua masyarakat dan Ketua 2 Persatuan Karyawan Limbang (PENGKARYA) yang khabarnya baru ditubuhkan secara rasmi, dengan Ketua 1 Sdr Benjamin yang tidak sempat balik kerana terkandas di Terusan dan terpaksa balik semula ke Kota KInabalu, ramai juga para penulis dan karyawan Limbang yang menyambut kami. Kami dihidangkan dengan persembahan kebudayaan masyarakat setempat oleh kaum Bisaya dalam Majlis Bedudun itu, juga bacaan puisi/syair/gurindam...Pihak PERWILA juga membuat persembahan balas dengan bacaan puisi. Ketua 2 membacakan Puisi "Di Bawah Bayang Manila" manakala Adik Athirah dan adik Najwa juga membacakan puisi "Aku Anak Merdeka", lucu juga apabila aku tanya siapa penulisnya, katanya seorang perempuan...sebenarnya puisi itu karyaku dengan nama pena SAMSA HARRIS, terkejut adik Najwa apabila diberitahu oleh Tn Hj Othman Mahali, akulah penulisnya...ada bakat juga anak cikgu Rosminah ni. Dalam Majlis Bedudun ini juga kami mewakili warga pendidikan Labuan khususnya menyampaikan Mock Cheque dan cek berjumlah RM1000.00 kepada Pusat Komuniti Perbahasan.

Kami juga bertukar-tukar cenderakenangan sebagai tanda ingatan bersama selepas saling menyampaikan ucapan dalam majlis yang ceria ini walaupun ketibaan kami disambut hujan barai-barai. Kami balik ke Hotel Purnama dengan hati puas mencatat kenangan yang berlainan dan menyambung ikatan silaturrahim antara Labuan dan Limbang. Dalam keletihan ada kepuasan yang terisi di hati kami ahli rombongan. Dalam perjalanan kami sepanjang hari, kami dihiburkan dengan lawak santai Sdr Suhili ditambah dengan rempah ratusnya oleh Tn Hj Othman Mahali dan Ketua 2 sendiri serta gelak ria anak-anak sekolah bakal penulis Wilayah kami, Labuan.

Monday, May 24, 2010

DI PENJURU DATARAN LABUAN

Petang ini
pada bahang pancar matahari
sekumpulan kecil pengunjung datang
pada majlis juara rakyat
dirasmikan menteri negeri
lapang di sana sini
kerusi kerusi kerusi
kosong kosong kosong
pada ucapan bersemangat
yang akarnya tidak menjalar ke pucuk minda
sedih rasanya terkilan keliru
di manakah yang lain menghilang
atau tidak diundang
usah salahkan sesiapa
kita bersatu kembali
mengayuh perjalanan ini
dengan satu tekad membangunkan
bangsa mulia sepulau ini
demi anak-anak tercinta
di pulau indah
semadah kasih.

SAMSA HARRIS
DATARAN LABUAN
23 MEI 2010

Friday, May 21, 2010

TERIMA KASIH GURU-GURUKU

Setulus ucapan terima kasih tidak terhingga
kepada guru-guruku di pedalaman, di pinggir dan di bandar
hemah kasihmu takkan kulupakan
hemah sayangmu kubawa menelusuri perjalanan
hemah bijaksanamu panduan berguna
hemah cerdikmu seluhur pemberianmu
hemah ramahmu sekasih abadi
hemah mesramu semadah lazuardi.

Kau guru-guruku
menghulur jasa sepanjang usia
membina yakin peribadi mulia
anak generasi seabad menjadi manusia.

Terima kasih guru-guruku
Terima kasih guru-guruku
Terima kasih guru-guruku....

Tuesday, March 16, 2010

SELAMAT BERCUTI

Selamat bercuti anak-anakku di KK. Selamat bekerja anak-anakku di KL dan Lumut. Selamat belajar anakku di Kota Samarahan. Selamat bekerja isteriku...

Wednesday, March 3, 2010

MURID PPKI SMK LAJAU MELUNCUR LAJU DI KOLAM RENANG

Perenang PPKI SMK Lajau "meluncur laju" di Kolam Renang Kompleks Sukan Labuan pada 2 dan 3 Mac 2010 apabila menang satu perak dan dua gangsa melalui Mohd Ebby Zamri Zuraimi, sekaligus menjadi pemenang kah kategori pendidikan khas. Beliau bersaing bersama tiga wakil SMK Lajau iaitu Hardi Abd Hagi, Ag Shafezan Ag Damit dan Subohan Mahmudee bertanding menentang murid aliran perdana sekolah menengah. Walaupun tidak berjaya memenangi pingat emas, kegigihannya menunjukkan murid PPKI mampu menyerlah, semoga dalam pertandingan lain, beliau dan rakan-rakan boleh menggeggar kolam renang suatu masa nanti.

Pihak sekolah sedang merancang untuk mengatur latihan berterusan sepanjang tahun sebagai Rancangan Jangka Panjang Lima Tahun, murid PPKI "meluncur" laju dalam acara akuatik, boling dan olahraga selepas ini. Latihan akan dijalankan pada setiap hari Rabu secara berfokus melibatkan semua 26 murid PPKI. Pihak sekolah juga berusaha memohon peruntukan atau mengumpul dana membina kolam renang di SMK Lajau menjelang 2012. Inilah hasratku sebagai Pengetua di SMK Lajau tersayang ini....Semoga seluruh warga menyokong idea gila-gilaku ini....

Tuesday, February 16, 2010

SEMALAM DI KINABALU PARK

Semalam aku, Samsiah isteriku, serta anak kami Naqibah dan Nadiah berjalan-jalan ke Kinabalu Park, bertolak ke sana dalam jam 8.00 pagi. Keadaan di sana sudah hilang dinginnya kerana terlalu banyak pembangunan fizikal, bangunan di sana-sini. Kalau dibandingkan tahun 1980-an atau 1990-an, sekarang agak panas...Kami sempat mendaki ke Trail meninjua air terjun sejauh 120 meter, tercunggap-cunggap juga kami kerana kami tiada latihan...tapi kami seronok sekali melihat pemandangan menyegarkan, terutama anak kecil kami Naqibah. Setelah berada beberapa jam di Tempohon kami turun ke bawah untuk solat Zohor, satu lagi masalah kerana terlalu banyak kenderaan, jadilah polis trafik kejap....tolong beri laluan kenderaan. Di Botanical Garden, ada sepasang Mat Salleh bertanya "cabler jumper" macam tau-tau sahaja kami membawanya. Seronok juga dapat tolong mereka, dapatlah enjin kereta mereka dihidupkan.

Selepas solat kami ke Kundasang, mak datuk panasnya di sana....anak kami yang kecil Naqibah pula mencari bunga ros merah/pink. Sukanya dia apabila kami belikan sepasu bunga ros yang diimport dari Holland. Masa aku di Holland dulu nampak juga bunga ros seperti itu, sampai di Malaysia harganya sepasu RM40.00 kalau yang tempatan dapatlah RM20.00..,Kami membeli juga buah-buahan potong. Sebelumnya kami berhenti di Pekan Nabalu, membeli buah-buahan dan kacang serta labu tua untuk dibuat haiasan.... tak tahu tahan atau tidak labu tu. Lain kali kami ke Poring pula....

Yalah cuti sampai Jumaat...Hari ini Samsiah kerja, kami menonton wayang di 1Borneo, cerita "Lu Fikirlah Sendiri de Movie...boleh tahan juga, maklumlah bertahun tak tengok wayang, penontonnya tak ramai, keluarga sahaja ada dua tiga kumpulan.... Rugi kalau macam ni pengusaha panggung...Kalau cerita Cina penuh di Pawagam lain....

Saturday, January 30, 2010

SAHABAT KEMBALI KE PANGKUAN ILAHI

Setelah genap seminggu sahabat kami Tuan Haji Mohd Kasim bin Md Don bergelut dengan "brain bleeding" akhirnya pada waktu asar di Hospital Queen, Kota Kinabalu di hadapan isteri dan empat anaknya beliau menghembuskan nafas terakhir. Sebelumnya saya menerima sms daripada anak beliau Syah jam 2:09:27 30 Januari 2010 memaklumkan "Baba tengah nazak. Mintak tlg sedekah yassindan solat hajat. Terima kasih." Aku yang baru selesai Jamak Zohor dan Asar, terus melaksanakan solat hajat. Hati ini sungguh sebak kerana selama empat hari bersama keluarganya bersilih ganti menjaga Tn. Hj Mohd Kasim dan saya orang terakhir bercakap dengan beliau pada 23 Januari lalu di Restoran Patani, Patau Patau....Saya berterima kasih kepada sahabat kami Sdr Jakariah dan Sdr Paris yang membantu menguruskan jenazahnya di Kota Kinabalu. Sms Paris menyentuh hati," semua anak beranak dia ada. Aku lewat seminit. Tunggu punch card. Aku uruskan bawajenazah ke masjid. Jakariah ke balai polis,dan adik dia ke airport. Aku suruh tukang mandi mayat tunggu dulu. Sebab aku mintashah dan abang dia ada dalam tempat mandidan aku suruh mereka mandikan juga.Budak tu ikut cakap. Emak dia pun serah je pada aku. Kalau abang Sahar ada kan bagus. Walau apapun ini semua kehendak Ilahikerana yg hidup hanya Dia, dan yang saya lihat yggerakkan semua ini adalah Dia. Jadi jenazahHj Kasim tidak bergerak lagi. Jadi yg menggerakkannya ialah kuasa Ilahi. Jadi kita tak perlu sombong kerana yang bergerak dan menggerakkan kita adalah kuasa Ilahi. Jadi benarlah kata matikan diri kamu sebelum kamu mati. Terima kasih abang Sahar, kita jumpa lagi" Amat menyentuh hati kata-kata sms Paris.....

Sambung lagi....

Thursday, January 28, 2010

KEMBALI MENCATAT BLOG SELEPAS LAMA MENGHILANG

Sekarang ini saya di KLIA, menunggu isteri tersayang dari Kota KInabalu untuk Majlis Tauliah anak kami Aizat Amzar yang akan menerima Watikah Tauliah Pegawai TLDM di Sungai Besi esok, 30 Januari 2010 daripada DYMM Sultan Kedah (Memangku Agong). Dalam kesempatan ini memang saya lama menghilang dalam blog kerana urusan sahabat saya Tuan Haji Mohd Kasim Md Don yang masih koma di Hospital Queen, Kota Kinabalu dengan ditemani isteri dan anak-anak beliau di sana.

Pada malam Sabtu lepas 22 Januari saya dan Tuan Haji Kasim makan malam di Restoran Patani, Patau-patau Labuan, kami bersembang hingga jam 10.30 malam kerana esok akan ada MOU antara syarikat Tuan Haji dengan Koperasi Pelajaran Labuan (Kopell Bhd). Majlis tandatangan antara beliau dengan Pengerusi Kopell Bhd, En Mohammad Zaki Mohd Yusof dijangka disempurnakan di Restoran Malindo, Labuan jam 11.30 pagi Sabtu, 30 Januari. Pagi itu saya keluar awal dari sekolah sebelum jam 11 lagi kerana telah berjanji dengan Tuan Haji Mohd Kasim untuk mengambilnya di One Hotel, Labuan berdekatan Pasar Besar Labuan. Hampir sampai di hotel saya menelefon beliau hampir 10 kali termasuk sms dan voice mail, tidak berjawab. Hati saya kurang sedap, lalu mencari "parking" di depan pasar, terus ke hotel, lalu bertanya kepada pekerja hotel yang memang kami kenal, bertanya haji ada di bilik ke? Mereka haji sudah naik selepas sarapan tidak lama tadi, saya telefon dari hotel, tidak berjawab juga. Lalu naik ke tingkat 4 menaiki tangga (walaupun bilik 215) seperti tingkat dua sebenarnya ada floor tidak digunakan. Lalu mengetuk pintu hotel sambil memanggil nama tuan haji, tidak berjawab. Lalu saya turun ke lobby, minta pekerja hotel bawa kunci dan buka pintu bilik, saya begitu berdebar apabila pintau disangkut rantai dari dalam. Dengan izin Allah, kami berjaya masuk setelah membuka rantai yang agak renggang, sebelumnya saya lihat Buku Yasin atas sejadah...saya meredah masuk dan terus menuju ke bilik air hotal, melihat haji terbaring dalam keadaan mengiring, saya memanggil nama haji, sambil mengarahkan pekerja hotel memanggil ambulance, saya juga menggunakan telefon bimbit memanggil 911, hanya no itu yang terlintas dalam fikiran tidak ingat 999. Panggilan disambut operator yang mungkin di KL atau KK, saya disambungkan dengan Hospital Labuan setelah mengenalkan nama dan jawatan saya, terasa lambat, lalu meminta bantuan Pengetua SMK Pantai En Yusup Mohamad untuk menelefon Pengarah Kesihatan Dr Zaini....sebenarnya dalam keadaan terdesak terasa lama walaupun baru lima atau 10 minit. Tidak lama ambulance sampai...bersama tiga pekerja hospital kami membawa turun haji Kasim mengikut anak tangga .... sambung nanti

Sambungan;;;

Dengan berhati-hati kami menolak Tuan haji Kasim ke dalam Ambulance. Aku masuk ke dalam ambulance, perjalanan terasa lama ke Hospital Nukleas, lebih kurang 10 minit baru sampai. Sesampainya di sana doltor bertugas memeriksa keadaan Haji Kasim. Pengarah Pelajaran, pengetua SMK Pantai dan Pengetua SM St Anthony juga ke hospital. Aku berjaya menghubungi Zureen House (adik Haji Kasim) selepas itu aku mendail "wife" dan dapat bercakap dengannya dan menyampaikan maklumat serta meminta beliau datang ke Labuan kerana keadaan Haji Kasim kulihat agak kritikal. Rupanya dalam handphone kita perkataan "isteri"/ "suami"/"anak" dll amat penting dalam keadaan kecemasan begini. Aku memang telah menukar nama isteri kepada "Samsiah isteriku" dan anak-anak dengan nama diikuti "anakku" dalam telefon bimbitku sejak beberapa bulan lalu....

Isteri haji Kasim menyatakan beliau akan ke Labuan dengan "flight" petang itu juga. Selepas beberapa lama aku dimaklumkan oleh doktor, kemungkinan Haji Kasim akan dibawa ke Queen Hospital , Kota Kinabalu. Aku menghubungi isteri Hj Kasim meminta "standby" di KLIA sahaja. Selepas sepuluh minit barulah disahkan Haji Kasim akan dibawa ke Kota Kinabalu dan aku meminta isterinya supaya mengambil penerbangan ke KK terus. Aku meminta jasa baik pihak hospital Labuan untuk aku mengiringi Haji Kasim dengan ambulance dan kapal laut Jabatan Laut, walupun mulanya agak sukar untuk memberi kebenaran tetapi aku bgersungguh-sungguh dan mereka minta aku menunggu di Terminal Feri Antarabangsa Labuan jam 320 petang. Hampir jam 4 petang bgarulah ambulance tiba dan aku mengikuti dr dan nurse serta minta isteriku menguruskan barang-baranng Hj Kasim di One Hotel.

Urusan menjadi mudah kerana hampir semua pekerja Jabatan Laut mengenali diriku, tiadalah soal jawab yang panjang. Dengan Feri Jabatan Laut hampir satu jam suku, kami sampai ke Pekan Menumbok, dan Ambulance Kuala Penyu menunggu kami untuk ke KJota Kinabalu...Bersambung

Monday, January 11, 2010

IMBASAN KENANGAN 2009: MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG SMK LAJAU KE-12






Gambar-gambar kenangan Imbasan 2009 Majlis Anugerah Cemerlang SMK Lajau (SEMELA: SEDERAP MELUNCUR LAJU. Majlis di Bilik Reflesia, Uk, dirasmikan Pengarah Pelajaran W.P Labuan En Mohammad Zaki bin Mohd Zaki, dihadiri murid cemerlang bersama ibu bapa, guru/staf, jemputan khas pengetua, guru besar seluruh Labuan....