Monday, June 21, 2010

KEMBARA SASTERA PERWILA W.P LABUAN KE BRUNEI, SARAWAK DAN SABAH 10-13 JUN 2010

Kembara Sastera Persatuan Penulis W.P Labuan (PERWILA) seramai 15 orang dengan diketuai Ketua 2 Sahar Misron bertolak awal pagi dengan Feri Wawasan Perdana dari Terminal Feri Menumbok. dari Menumbok meneruskan perjalanan ke Limbang menerusi Beaufort, Sipitang dan Lawas. Kami makan tengah hari di Lawas, di sebuah gerai di tepi sungai. Perjalanan diteruskan ke limbang menerusi Temburong. Perjalanan yang agak meletihkan melalui jalan yang agak baik keadaannya walaupun nampak perbezaannya apabila melalui jalan raya di Negara Brunei DS, yang mana jalannya begitu baik dari segi kualiti binaannya yang menimbulkan cemburu kami warga Malaysia. Perjalanan tambah memenatkan apabila terpaksa merentasi dua batang Sungai di Stesen Terusan dan Stesen Puni, yang mana kami terpaksa menunggu agak lama menunggu giliran menyeberang dua batang yang nampak seberangnya, kalau dibaling batu pun sampai ke sebelah sana. Rupanya kami mendapat tahu di Brunei pun cuti sekolah, kenderaan agak panjang berbaris, ada sebuah dua kenderaan yang memotong barisan menimbulkan keresahan ahli rombongan, EQ kena kuat sebenarnya menghadapi pelbagai kerenah manusia.

Kami sampai di Limbang jam hampir 6.00 petang. Malamnya kami diraikan di Restoran Mutiara, Kampung Buang Siol oleh wakil YB Wakil rakyat, yang hadir ialah Tuan Haji Mohammad Abu Bakar, ketua-ketua masyarakat dan Ketua 2 Persatuan Karyawan Limbang (PENGKARYA) yang khabarnya baru ditubuhkan secara rasmi, dengan Ketua 1 Sdr Benjamin yang tidak sempat balik kerana terkandas di Terusan dan terpaksa balik semula ke Kota KInabalu, ramai juga para penulis dan karyawan Limbang yang menyambut kami. Kami dihidangkan dengan persembahan kebudayaan masyarakat setempat oleh kaum Bisaya dalam Majlis Bedudun itu, juga bacaan puisi/syair/gurindam...Pihak PERWILA juga membuat persembahan balas dengan bacaan puisi. Ketua 2 membacakan Puisi "Di Bawah Bayang Manila" manakala Adik Athirah dan adik Najwa juga membacakan puisi "Aku Anak Merdeka", lucu juga apabila aku tanya siapa penulisnya, katanya seorang perempuan...sebenarnya puisi itu karyaku dengan nama pena SAMSA HARRIS, terkejut adik Najwa apabila diberitahu oleh Tn Hj Othman Mahali, akulah penulisnya...ada bakat juga anak cikgu Rosminah ni. Dalam Majlis Bedudun ini juga kami mewakili warga pendidikan Labuan khususnya menyampaikan Mock Cheque dan cek berjumlah RM1000.00 kepada Pusat Komuniti Perbahasan.

Kami juga bertukar-tukar cenderakenangan sebagai tanda ingatan bersama selepas saling menyampaikan ucapan dalam majlis yang ceria ini walaupun ketibaan kami disambut hujan barai-barai. Kami balik ke Hotel Purnama dengan hati puas mencatat kenangan yang berlainan dan menyambung ikatan silaturrahim antara Labuan dan Limbang. Dalam keletihan ada kepuasan yang terisi di hati kami ahli rombongan. Dalam perjalanan kami sepanjang hari, kami dihiburkan dengan lawak santai Sdr Suhili ditambah dengan rempah ratusnya oleh Tn Hj Othman Mahali dan Ketua 2 sendiri serta gelak ria anak-anak sekolah bakal penulis Wilayah kami, Labuan.

No comments: