Wednesday, March 25, 2009

FORUM PERDANA HAL EHWAL ISLAM MALAM ESOK 26 MAC 2009 DI UK

Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Dewan Konvensyen, Ujana Kewangan (UK) Labuan terbitan RTM secara rakaman yang akan disiarkan nanti pada bulan April dan Jun 2009.
Datanglah beramai-ramai ke UK pada jam 700 malam esok 26 Mac 2009 untuk bersama tiga ahli panel iaitu Prof Dato'Dr. Sidek Baba, dan mantan TKPPM JAPIM Dato' Dangeran Mustafa serta ahli panel dari Labuan.

Warga Jabatan Pelajaran Labuan termasuk dari sekolah sedang membuat persiapan rapi untuk Forum Perdana ini, diketuai oleh Pengarah Pelajaran Labuan, Mohammad Zaki bin Mohd. Yusof, A.M.N, juga penyelaras Ustaz Hanifah Md Zain dan Ustaz Mohd. Farihi Abd Halim...

Para jemputan terdiri daripada CEO Perbadanan Labuan Dato Basiran Saban, Pengarah-pengarah Pelajaran Negeri, Ketua-ketua Sektor Pendidikan Islam Negeri dan seluruh masyarakat Labuan.

Kita ke Forum Perdana Hal Ehwal Islam di UK malam esok 26 Mac 2009, jom beramai-ramai kita warga Labuan ke sana. Pandang-pandang juga pameran di bahagian bawah pintu masuk Dewan Konvensyen nanti daripada pelbagai agensi.

Sunday, March 22, 2009

GEOPARK LANGKAWI YANG MEMUKAU

Mesyuarat Pengetua dengan Pengarah dan pegawai JPN Labuan pada 18-21 Mac, mencipta kelainan dengan kesempatan cuti dengan menyusuri Taman Geopark KILIM yang sungguh memukau kami....dengan permulaan hujan lebat, hingga kami sempat membeli baju hujan 3 RM10.00, lucu juga melihat rakan-rakan yang tidak biasa memakainya, seperti menebar roti jala, yang akhirnya koyak-rabak.... basah lecun juga, kemudian cuaca kembali cerah. Perhentian pertama melihat pelbagai jenis ikan sangkar, yang paling menarik "ikan sumpit" yang pandai menyumpit macam orang asli apabila diberi roti makanannya.

Keliling kami hutan bakau yang beribu tahun usianya, sungguh mengagumkan, sesuai untuk aku yang "major Geografi" mungkin juga pengarah yang sama major di u, juga Puan Rosni... mungkin juga kawan-kawan lain pun tumpang seronok jua... Hutan bakau yang memukau, habitat hidupan tepi pantai yang unik, tidak hairanlah kalau kami lihat banyak sekali kapal "Mat Salleh" di sepanjang sungai berlabuh..mungkin juga sewa "parking:nya murah...

Selepas itu menyusur lagi menikmati batuan kapur yang pelbagai bentuk di keliling sungai/muara. Melihat ular kapak yang kekenyangan di atas dahan, boleh berada di situ berbulan-bulan lamanya. Menusuri lohong ombak yang membentuk gua batu kapur yang boleh dilalui ketika air pasang saja.

Memberi makan helang "Langkawi" dengan perut ayam, kumpulan helang yang banyak menyambar, sungguh menghiburkan....

Selepas itu kami melihat "Pulau Kasut" sebelum sejenak ke laut langkawi sempadan Siam, rasa nak berenang menyeberangi sempadan, aku lepaslah kerana bawa pasport, rakan lain apa hal.... tak jadilah "berenang" ke Siam.

Perjalanan akhir menyusur Gua Kelawar dengan lampu suluh sewa RM1.00, aku sudah bersedia dengan lampu suluh kecil dan "lighter" jika perlu digunakan.... bau tahi kelawar memualkan.... cepat saja jalan kami...bau hancing saja..."siapa makan cili terasa pedasnya"....

Pulang ke Jeti Mula dengan kepuasan kerana inilah antara hobi aku selain meredah hutan dan memanjat gunung. Di gerai makan Pengarah yang mulia hatinya dan pemurah belanja kami laksa langkawi, ok juga rasanya, kawan kami Ammar pesan mee udang, mak datuk besarnya udang.... mahal tu Pengarah! Lain kali kami belanja tuan pengarah pula, asyik tuan saja belanja malu kami....

Tiga jam menyusur "Geopark Langkawi" sungguh bermakna kepada kami. Gambar menyusul dalam post akan datang....

Tuesday, March 17, 2009

SELAMAT MENJALANI LATIHAN PLKN DI PAPAR NABIHAH

Selamat menjalani Latihan PLKN di Kem Papar kepada Nabihah daripada adik-adik dan abang-abang serta ibu ayah, semoga tabah menghadapi cabaran yang menunggu. Hujung minggu boleh hubungi kami menerusi telefon. Pandai-pandailah menyesuaikan diri, dan jaga diri baik-baik, jaga maruah diri dan maruah keluarga...

Monday, March 16, 2009

CUTI PERSEKOLAHAN KAMI SEKELUARGA DI LABUAN

Cuti sekolah kali ini kami bersama sekeluarga di Labuan, Samsiah bercuti seminggu. Hari Rabu 18 -21 Mac aku akan ke Langkawi menghadiri Mesyuarat Akademik di sana. Nabihah, anak kami yang ketiga akan ke Papar mengikuti Latihan Khidmat Negara, seronok dia bakal menembak dengan M16, abah hanya biasa dengan Pistol Separa Automatik di Lapang Sasar..... menanglah tu, nantilah abah pun teringin nak guna M16. Nadiah pula akan mengikuti perkhemahan pada minggu depan. Aku pula akan ke Pulau Papan untuk Kursus Asas dan Pentaulihan KRS sebagai Komandan pada 28-29 Mac 2009. Selepas itu ke Tang Dynasty untuk Mesyuarat Pengurusan Sekolah di sana dari 3-5 April, tiada hujung minggu nampaknya...

Tuesday, March 10, 2009

SEMANIS KENANGAN MENGGAPAI CITA DAN IMPIAN

Tiada semanis kenangan dan seindah cita dan impian daripada melihat anak-anak SMK Lajau mencipta kecemerlangan STPM 2008, rekod sekolah 100% lulus STPM. Tahniah semua, dan terima kasih kepada seluruh keluarga yang memahami tugas getir abah sebagai pengetua sebuah sekolah....penuh liku dan ranjau yang perlu dilalui.

Syukur atas kecemerlangan kualiti juga, 10 pelajar 3 pointer ke atas, 11 mendapat 5P, 13 mendapat 4P.... Tahniah kepada semua pelajarku....Juga kepada semua warga guru dan staf yang jelas hala tuju sekolah yang hendak kita kemudi...."SMK Lajau terbaik Tahun 2010" Setelah kepedihan yang masih terasa lukanya dalam PMR hujung tahun lalu, syukur kepada Ilahi yang menyayangi waarga kami. Moga diteruskan kecemerlangan dalam SPM pula... Kami berdoa semoga Nabihah anak kami juga boleh cemerlang mengikut jejak langkah abang-abangnya... Mudah-mudahan....menanti debar gegar emosi 12 Mac 2008...

Monday, March 9, 2009

JUMPA SAHABAT LAMA PPK

Pagi tadi sebelum hantar Samsiah ke Terminal Feri Labuan, sempat menyambut sahabat lama masa di PPK, Persiaran Duta, KL 10 tahun lalu....Saudara Idris Kadir. Beliau sekarang di BPG, membawa pelatih IPG Islam, Bangi seramai lapan orang jalan-jalan ke Sabah dan Labuan. Kenderaan disediakan oleh Jabatan Pelajaran Labuan....

Malamnya, selepas mereka makan malam dengan Pengarah Pelajaran, aku datang bertemu Idris dan bersembang-sembang cerita masa di PPK, hingga beliau ke BBT, dan IPG Tawau sebelum balik semula ke KL...Lama aku tidak berjumpa beliau. Cuma sekarang beliau memakai kaki palsu kerana sakit kencing manis semasa di Tawau dulu...dia masih seperti dulu, peramah dan suka bercerita, memang kami agak rapat semasa di PPK kerana kami sama-sama dari USM Pulau Pinang, walaupun beliau senior sedikit....umurnya juga lebih sedikit berbanding diriku...Esok mereka akan keliling Pulau Labuan kerana pelatih yang dibawa pertama kali datang ke Labuan.

SPM DAN STPM AKAN DIUMUMKAN

Keutusan SPM dan STPM akan diumumkan sehari dua ini. Nabihah anak kami yang ketiga menunggu penuh debar, kami suami isteri serta abang dan adik-adik mendoakan kejayaan Nabihah, moga cemerlang....Lepas itu 19 Mac ke PLKN di Papar....Abah akan ke Langkawi, mama akan balik bercuti...demi anak-anak tersayang kan?...

Amirul Husni akan ke Kemboja pagi lusa (11 Mac)....selamat pergi dan selamat kembali....Jaga diri di tempat orang...ambil gambar di negara orang, semoga tugasan akhir sarjana "Construction Management" cemerlang hasilnya..Ada rezeki sambung PhD.....

Sunday, March 8, 2009

SAJAK-SAJAK SAMSA HARRIS

BIARKAN....

biarkan kata-kata lantang
bersulam emosi
menggegar sebilik ini
diam lebih baik daripada membalas kata
mengalah bukan kalah
mengundur bukan kendur
nantilah kebenaran terserlah
biarlah sama-sama menilai
kerana kita bukan hakim
memutuskan siapa benar siapa salah
nantilah....

SAMSA HARRIS
Labuan 18 Februari 2006


KISAH DI PULAU INI...
di resort ini
nostalgia kampung
menyambar ingatan
dingin air perigi
menyentuh hujung jari
tapi di sini
kolam renang airnya
berganti setiap hari
spa dengan dua gadis remaja
anak tempatan
bagai merayu pelanggan datang
dengan pujukan dan godaan kata
serta lenggang senyuman
dengan lambaian mata
yang ramah
bercerita itu ini
mengisi hari.

SAMSA HARRIS
Tok Senik Resort, Langkawi 20 Februari 2006


PERJALANAN MALAM
malam berkereta
keliling pulau mutiara
laut china selatan
pada gelap malam
bersama dua tamu dari kota
berhenti minum di malindo
nostalgia kembali
menyambar ingatan
semasa kami bersama
di persiaran duta
menghitung usia pengalaman
keakraban pegawai dan kakitangan
dalam sukan, persatuan, dan tugas...


SAMSA HARRIS
2 Mac 2009


BIAR KEIKHLASAN....
aku tidak merasa susahnya
melaksana tugas di sini
biar keikhlasan
jadi sandaran
tanpa mengharap balasan
agar organisasi ini
cemerlang menjulang nama
dalam tekun tugas
peraturan adalah kebaikan semua
usah dipersiakan usia mudamu
jika ada kesilapan perbetulkannya
tanpa tolak-ansur atau paksaan..

SAMSA HARRIS
Labuan 3 Mac 2006


TENANG TERASA....
wajah laut
samar jam 0630 dari tingkap ujana
melihat kapal-kapal berlabuh
ombak sepi
ombak mati
tenang terasa
nostalgia kembali
menyambar ingatan
ke kampung halaman
ketika air selat melaka bersatu
air telukan brunei
dan laut china selatan
tenang fikir
melihat perahu nelayan
menyelinap di celah
kapal-kapal berlabuh
mengutip rezeki paginya
ikan segar
untuk lauk tengah hari


SAMSA HARRIS
Labuan 3 Mac 2006


CERIA KEMBALI PAGINYA

pagi ini
sianak kecil
tahun satu
kembali riang
setelah bukunya
yang tertinggal di bawah meja
sekolah ditemui kembali
malam tadi redup wajahnya
ketika ditanya
kini ceria kembali
melambai kami
pada tingkap kereta yang terbuka
semoga sikecil anak kami
berjaya cemerlang
dengan buku-bukunya
yang ditemui kembali.

SAMSA HARRIS
Labuan, 3 Mac 2006

Monday, March 2, 2009

AMIRUL HUSNI, SELAMAT KE KEMBOJA

Kami sekeluarga mengucapkan selamat pergi dan selamat kembali kepada Amirul Husni, anak sulung kami yang akan ke kemboja untuk pratikal Program Master "Construction Management" di sana, semoga sukses, jaga diri baik-baik di rantauan. Dah lulus Masters nanti jangan sombong diri pula.....Jangan lupa ambil gambar banyak-banyak. Lepas tu bolehlah fikir-fikir sama ada nak terjun ke alam pekerjaan atau buat PhD di Australia atau New Zealand ya...Abah dan mama mendoakan kejayaan, begitu juga adik-adik turut mendoakan kejayaan abang tersayang.